COLOMBO – Sri Lanka menghantar balik sebanyak 21 kontena sampah ke United Kingdom (UK) setelah didapati mengandungi bahan berbahaya.
Pegawai kastam mendedahkan sisa buangan hospital itu ditemui dalam 263 kontena yang diimport oleh sebuah syarikat swasta.
Antara sisa pepejal tersebut termasuk tilam dan karpet yang berpotensi dikitar semula.
Sebilangan besar kontena telah disimpan di dalam gudang, dengan hanya sebilangan kecil bahan yang telah dieksport semula.
Terdapat plastik dan polythene dalam kontena-kontena tersebut.
Kastam memaklumkan terdapat 21 kontena itu dibawa keluar dari Sri Lanka pada hari Sabtu.
Jurucakap Kastam, Sunil Jayaratne mengatakan sisa-sisa pepejal itu ternyata melanggar peraturan dan undang-undang antarabangsa dan Kesatuan Eropah .
Agensi Alam Sekitar England memaklumkan pihaknya komited untuk menangani eksport sampah haram.
Jurucakap EA berkata: “Kami telah berhubung dengan pihak berkuasa Sri Lanka dan telah meminta lebih banyak maklumat yang memungkinkan kami melancarkan siasatan”.
Beberapa negara lain di rantau ini baru-baru ini mulai mengembalikan sampah yang diimport dari negara asing.
Pada bulan Januari, Malaysia mengembalikan 42 bekas penghantaran sampah plastik yang diimport secara haram ke UK. – MalaysiaGazette