KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman mengingatkan Datuk Dr. Asyraf Wajdi tidak perlu mengungkit dengan pelantikan Datuk Hajiji Mohd Noor dari Parti Bersatu sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Katanya, jika Ketua Pemuda UMNO itu hendak mengungkit, Pas juga boleh buat perkara yang sama sehingga berkorban harta, jiwa, tenaga dan maruah untuk menjayakan Muafakat Nasional (MN) dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kanda (Dr. Asyaf), ini bukan masa untuk mengungkit.
“Jika mahu diungkit, orang Pas lagi banyak boleh mengungkit, iaitu berkorban harta, jiwa, tenaga dan maruah. namun, segalanya tidak lagi berbangkit.
“Kewajipan kita banyak, masa kita sedikit. Setuju Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal terkhilaf. Khalas,” tulis beliau dalam status Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Asyraf yang mengingatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak melampaui batas setelah sekian lama UMNO bertolak ansur dalam membentuk kerajaan Pusat dan kerajaan negeri termasuk Sabah, walaupun parti itu mempunyai kerusi minoriti.
Menurut Ketua Pemuda itu, Bersatu jangan mudah lupa dengan pengorbanan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memberi laluan mudah kepada parti itu mengetuai kerajaan Pusat dan negeri sebelum ini.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal dalam kenyataannya ‘mendabik dada’ mengatakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Bersatu tidak bertanding sendirian, bahkan secara kolektif dalam Perikatan Nasional (PN).
Malah, katanya, PN terbukti mempunyai kekuatan tersendiri biar pun baru setahun jagung, sambil memetik dapatan Merdeka Centre menunjukkan PN kalau kena gaya tidak bertembung tiga penjuru akan mampu menawan dua pertiga Dewan Rakyat.
Wan Ahmad Fahsyal juga berkata, rakyat lebih menyayangi PN daripada parti lain kerana tidak dibayangi dengan skandal dan masalah kronik sehingga rakyat sukar percaya.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir meminta Pemuda UMNO memandang ke hadapan dengan mengukuhkan parpaduan dan masing-masing membuktikan keinsafan. – MalaysiaGazette