Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Individu yang baru pulang dari Sabah dan diuji negatif Covid-19, tidak bergejala dan tidak mempunyai kontak rapat dengan individu positif tidak perlu menjalani kuarantin diri 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang selepas diuji dan diberi tempoh kuarantin dan diberi surat HSO atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

“Mereka akan dipakaikan gelang jambu sehingga mendapat keputusan dan kalau keputusannya negatif dan bukan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Permerhatian (PUS), kita akan bebaskan dia tanpa menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Bagaimanapun kita masih akan menasihati mereka supaya patuh SOP dan kawalan kendiri iaitu kalau boleh mereka duduk di rumah sampai 14 hari atas inisiatif dan usaha sendiri sebaik-baiknya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Noor Hisham juga menambah, selepas itu mereka boleh tampil ke klinik kesihatan atau Pusat Kesihatan Daerah untuk mendapatkan swab test pada hari ke-13.

Ujarnya, ia penting untuk membolehkan mereka mengetahui dirinya benar-benar bebas daripada Covid-19.

Justeru katanya, dalam senario individu yang dikesan positif setelah kembali dari Sabah pula akan dimasukkan terus ke hospital untuk rawatan segera.

Manakala mana-mana individu diuji negatif tetapi bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif akan dikuarantin selama 14 hari.

Namun ia berbeza dengan orang yang pulang dari luar negara walaupun dari Zon Merah kita tidak pernah kuarantin mereka yang negatif untuk 14 hari.

“Contoh terbaik adalah Kluster Sivagangga di Kedah apabila mereka yang kembali dari negeri itu akan disaring tapi tak pernah kuarantin mereka dan kena faham apa yang kita laksanakan di Sabah sama seperti kaedah di negeri lain seperti Kedah,” tegasnya.

Mengulas mengenai mereka yang mempunyai masalah untuk kuarantin diri di rumah disebabkan ruang atau keadaan sekeliling tidak membantu kawalan kendiri dan ditolak oleh pengurusan hotel, individu tersebut boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk dipertimbang kuarantin di Institut Latihan Awam (ILA).

“Mereka tidak ada masalah sekiranya persekitaran dan ruang di rumah tidak membantu, mereka boleh menghubungi NADMA dan kita akan membantu mempertimbangkan permohonan mereka untuk ditempatkan di Pusat Kuarantin ILA.

“Ada juga kes dari ILA yang mahu kuarantin diri di rumah, jadi kita akan mengambil kira semua aspek termasuk sekiranya seseorang itu ada masalah kemurungan dan sebagainya untuk memastikan dia dapat menjalani kuarantin tanpa masalah,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast