KUALA LUMPUR – Ketua-ketua sayap pemuda parti kerajaan diingatkan agar mengambil sikap berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan kenyataan masing-masing.
Mereka perlu menjadi contoh terbaik kepada rakyat dalam mencorakkan kepimpinan masa hadapan dan sayap pemuda perlu berpolitik secara matang, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
Beliau berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) melalui Gabungan Rakyat Sabah seharusnya menjadi contoh terbaik untuk mengukuhkan kerjasama politik ke arah Pilihan Raya Umum (PRU-15).
“Kenyataan berbaur sindiran dan ‘mengangkat bakul’ sendiri adalah satu langkah politik yang merugikan PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional).
“Seharusnya, pemimpin anak muda melihat secara keseluruhan akan pengorbanan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi yang berkorban masa, keringat dan wang ringgit untuk berkempen di PRN Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, pihaknya menggesa sayap pemuda diperkasakan melalui perbincangan membina dan bukannya serangan secara terbuka hingga mengakibatkan keresahan di kalangan rakyat.
“Seharusnya, ucapan terima kasih ditujukan kepada pihak Barisan Nasional yang sudah bertukus-lumus berkempen untuk memberikan kemenangan kepada GRS (Gabungan Rakyat Sabah).
“Ada antara sahabat-sahabat kita di dalam BN yang berkempen hingga dijangkiti virus Covid-19. Bingkisan ucapan terima kasih adalah satu contoh berpolitik secara matang,” tambahnya.
Justeru, beliau menyeru semua wakil rakyat yang baru dipilih pada PRN Sabah untuk memfokuskan masa, tenaga dan keringat mereka kepada penyelesaian isu rakyat dan pembangunan kawasan setempat serta menghapuskan budaya ‘katak lompat’ di Sabah. – MalaysiaGazette