Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menunjukkan wajah suspek yang dikedendaki polis pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembak yang menyebabkan seorang ahli perniagaan, pegawai peribadinya serta tiga pelajar sekolah cedera di Banting pada Jumaat lalu.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah semua yang ditahan bagi kes tersebut 19 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua mereka akan direman selama tujuh hari untuk pihak berkuasa menyiasat mengetahui motif kejadian itu berlaku.

“Bagi kes di Banting kita telah melakukan tangkapan terhadap 19 individu dan mereka akan direman selama tujuh hari.

“Hasil siasatan bagi kes ini akan kita beritahu selepas segalanya selesai,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, pihaknya kini sedang mengesan dua individu yang merupakan saksi bagi kes tembak di Seri Kembangan pada 21 September lalu.

Wajah suspek yang dikehendaki polis pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 SEPTEMBER 2020.

Katanya, bagi kes tersebut, polis telah menahan seramai 10 orang suspek di mana sembilan daripadanya merupakan lelaki manakala seorang lagi perempuan yang merupakan warga asing.

Kesemua suspek terbabit kini direman bagi membantu siasatan yang dipercayai bersabit dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen (ah long), katanya.

Tambah beliau, kedua-dua individu yang dicari itu adalah Loo Lai Ming (Dato Michael) dan Choong Aik Boon ([email protected]).

“Pihak polis mengalu-alukan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat dalam memberi maklumat bagi memburu dua suspek yang masih bebas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette