KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) bersama gabungan NGO di negara ini menuntut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa campur tangan dan membatalkan penjualan sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada seorang kenamaan berpangkat Tan Sri.
Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa berlaku pencabulan kuasa serta amalan rasuah dalam soal penjualan tanah yang dijual RM14 juta sahaja sedangkan harga pasaran bernilai RM80 juta.
Beliau juga membidas tindakan DBKL meluluskan dan menjual tanah tersebut tanpa proses tender terbuka kepada individu tersebut.
“Harga pasaran semasa tanah seluas sekitar satu ekar (atau 40,000 kaki persegi) dan harga cukai taksiran RM35, 830,000 tapi dijual kepada seorang pemaju VIP yang ada kes rasuah pada 27 Julai lalu.
“Kami telah berjuang dan menyuarakan masalah tanah berkenaan sejak tahun 2018 lagi turun naik tangga pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun kami hanya dibalas dengan penata dan jawapan tidak ada kes dan telah ditutup.
“Bayangkan lebih 28 penjaja berniaga di atas tanah milik kerajaan sebelum ini di sana lebih 15 tahun lalu dengan lesen sementara yang diperbaharui DBKL setiap bulan sekarang kami nak tahu kenapa tanah itu dijual kepada perasuah berstatus Tan Sri itu,” katanya selepas menyerahkan memorandum menggesa tindakan penyelesaian isu itu di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut hari ini.
Justeru Mohd Ridzuan kesal akibat perkara itu, nasib dan masalah rakyat dianaktirikan para pemimpin politik yang kemaruk kuasa pula sanggup membiarkan rakyat menderita.
Beliau mendakwa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang baru bersara hari ini bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku kerana meluluskan penjualan tanah itu tanpa tender terbuka dengan bimbingan peguam mereka yang turut mewakili Tan Sri tersebut.
“Kita memberi tempoh dua minggu kepada Annuar Musa dan juga Datuk Bandar baharu ini dan penuh berkeyakinan mereka akan menyelesaikan isu ini dengan kadar segeradan meminta bekas Datuk Bandar serta ‘Tan Sri’ itu ditangkap dan disiasat dengan hukuman setimpal.
“Saya nak Perdana Menteri kita selamatkan segera tanah rakyat ini begitu juga Annuar yang merupakan menteri prihatin dan jika beliau berjaya, merekalah hero rakyat.
“Justeru batalkan penjualan tanah itu dan buka tender terbuka supaya syarikat yang berminat boleh membeli dengan RM80 juta atau RM90 juta kalau gagal juga kami akan membuat protes besar-besaran dan merujuk SPRM beserta segala dokumen sokongan bukti salah laku penjualan tanah itu,” tegasnya.
Menurut Mohd Ridzuan, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap ‘Tan Sri’ berkenaan selepas tanah itu dipagar kelmarin dan penjaja juga dihalau.- MalaysiaGazette