Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Datuk Seri Dr. Sulaiman Mahbob bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (tiga kanan) bergambar kenangan dengan penerima hadiah cabutan SSPN Bulanan Julai 2020 pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung SSPN 2020 di Hotel Istana Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila jumlah deposit SSPN sebanyak RM878.92 juta pada Ogos lalu melebihi sasaran 154.76 peratus sebanyak RM345 juta.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata, rekod itu menyaksikan pencapaian sebanyak 275,964 akaun baharu berbanding sasaran 232,000 akaun baharu.

Jelas beliau, pada tahun ini, PTPTN telah mensasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1.5 bilion dengan 400,000 akaun baharu.

“Sehingga 31 Ogos lalu , sebanyak 4.6 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM6.76 bilion.

“Bagaimanapun, jumlah ini adalah kecil sahaja berbanding jumlah kanak-kanak dan remaja warganegara Malaysia berumur 19 tahun dan ke bawah seramai 10 juta orang.

“Sehubungan dengan itu, tindakan yang lebih giat harus dilakukan lagi bagi setiap ibu bapa mempunyai tabungan SSPN untuk setiap anak secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung SSPN 2020 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau itu dibaca oleh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang turut mewakili Wan Saiful.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, SSPN yang diwujudkan oleh PTPTN memiliki pelbagai keistimewaan seperti simpanan dijamin oleh kerajaan dan paling penting skim ini adalah patuh Syariah.

Selain itu menurutnya, kadar dividen yang diberikan juga adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi kewangan lain.

Tambah beliau, pada tahun 2019, kadar dividen yang diberikan PTPTN adalah empat peratus.

“Yang lebih istimewanya, skim ini merupakan satu-satunya pelan simpanan yang diberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun.

“Melalui SSPN-i juga, perlindungan takaful secara percuma untuk pendeposit turut disediakan simpanan yang telah mencecah RM1,000.

“Bagi pendeposit SSPN-i Plus pula, dengan simpanan serendah RM30 sebulan, mereka boleh mendapat perlindungan takaful sehingga RM40,000 selain khairat kematian dan manfaat bagi penyakit kritikal serta elaun harian hospital,” katanya. – MalaysiaGazette