KUALA LUMPUR- Indeks nilai seunit eksport susut 0.2 peratus kepada 109.7 mata pada Ogos tahun ini disebabkan kejatuhan indeks minyak galian (-2.7 peratus) diikuti alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.6 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.6 peratus).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks volum eksport juga merekodkan penurunan sebanyak 14.4 peratus kepada 135.6 mata yang disebabkan oleh penurunan indeks minyak dan lemak bintang dan sayur-sayuran (-20.1 peratus); alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-18.4 peratus) dan minyak galian (-13.4 peratus).
Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatatkan penurunan 12.5 peratus kepada 134.5 mata.
Jelasnya, berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 4.9 peratus manakala indeks volum eksport naik 1.2 peratus.
“Indeks nilai seunit import merekodkan kenaikan kecil 0.1 peratus kepada 113.4 mata pada Ogos 2020 berbanding bulan sebelum, yang disebabkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+1.3 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (+0.3 peratus).
“Sebaliknya, indeks volum import menyusut 2.3 peratus kepada 132.2 mata. Penyusutan ini disebabkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-11.6 peratus), minyak galian (-9.4 peratus) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-4.4 peratus). Bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Ogos 2020 menurun 2.5 peratus kepada 127.5 mata.
“Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing mencatatkan penurunan 3.6 peratus dan 3.0 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa terma perdagangan Malaysia mencatatkan kejatuhan kecil 0.1 peratus kepada 96.7 mata berbanding Julai 2020. Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut susut 1.4 peratus daripada 98.1 mata.- MalaysiaGazette