KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil keputusan untuk menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN 2020) yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober ini ke satu tarikh bersesuaian yang akan diumumkan kemudian.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sambutan HSN 2020 di peringkat negeri-negeri, kementerian, agensi kerajaan, sekolah, persatuan dan komuniti sukan yang telah bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama juga disarankan untuk mengambil langkah yang sama.
“Keputusan penangguhan HSN 2020 ini dibuat setelah mengambil
kira situasi peningkatan jumlah kes Covid-19 baru-baru ini dan
sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko
penyebaran pandemik tersebut demi memelihara kesejahteraan
dan keselamatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Reezal Merican, semua penggiat sukan juga diingatkan untuk sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan yang sedang berkuatkuasa.- MalaysiaGazette