LIVERPOOL – Liverpool terus dikejutkan dengan berita Covid-19 apabila penyerang sensasinya, Sadio Mane sah positif pandemik itu, umum kelab Inggeris berkenaan.
Liverpool dalam satu kenyataan berkata, Mane ketika ini menjalani kuarantin kendiri mengikut garis panduan ditetapkan.
“Mane menunjukkan simptom kecil virus berkenaan tetapi kesihatannya dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun seperti Thiago Alcantara, Liverpool FC sedang dan akan terus mengikuti semua peraturan berkaitan Covid-19 dan Mane akan menjalani kuarantin kendiri untuk tempoh ditetapkan,” kata kelab itu dilaman webnya.
Sebelum ini, Thiago terlepas aksi menentang Arsenal selepas keputusan ujiannya positif dan dia serta Mane tidak akan mengikut pasukan untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris di Aston Villa esok.
Pengendali Liverpool Jurgen Klopp berharap kedua-dua pemainnya itu akan dapat kembali beraksi selepas rehat perlawanan antarabangsa untuk pertemuan tetangga Merseyside di Everton pada 17 Oktober ini. – MalaysiaGazette