Dr Adham Baba

KOTA TINGGI – Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah di seluruh negara sudah sedia untuk diaktifkan semula sekiranya pandemik berkenaan terus mencatatkan peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 36 pusat sedemikian di 118 hospital kerajaan serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), selain pusat lain yang diwartakan oleh Majlis Keselamatan Negara, seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Kita sentiasa bersedia (untuk mengaktifkan pusat kuarantin) dan ubah suai tempat seperti ILKKM.

“Kalau kes bertambah kita ‘reactivate’,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baru Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 Bersama Pemimpin Komuniti Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di sini hari ini.

Sementara itu, Adham berkata, kira-kira 20 juta individu direkodkan sudah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dengan 1 bilion “check-in” dicatatkan di seluruh negara.

“Ada 2 faktor yang menjadikan kita pantas mengesan Covid-19, yang pertama ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pasukan kita mengesan, dan keduanya, kesediaan 58 makmal kita dalam menjalankan ujian, termasuk swasta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast