PETALING JAYA – Polis menahan seorang ahli perniagaan yang mengingkari arahan kuarantin wajib di Damansara Damai, dekat sini, semalam.
Bagi mengelak dikesan, individu berumur 63 tahun yang berasal dari Sabah itu membaluti gelang merah jambu yang dipakainya dengan kain berwarna putih.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dua anggota polis cawangan kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima maklumat menegnai perkara itu pada pukul 11.43 pagi semalam dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut meliltkan kain berwarna putih pada gelang yang dipakainya.
“Siasatan awal mendapati suspek baru pulang dari Sabah dan diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah bermula 28 September lalu hingga 11 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ezanee, suspek ditahan oleh polis dan pihaknya akan memohon perintah reman esok di Mahkamah Petaling Jaya.
Tambah beliau, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. – MalaysiaGazette