Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menangguhkan pendaftaran serta kemasukan pelajar baharu program Sarjana Muda dan pelajar lama secara fizikal bagi sesi akademik 2020/ 2021 yang dijadualkan 3 dan 4 Oktober ini.

Penangguhan ini selari dengan dengan arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

UPNM berkata, sejajar dengan penangguhan pendaftaran secara fizikal, UPNM telah melaksanakan pendaftaran pelajar secara atas talian melibatkan 920 orang pelajar Sarjana Muda.

Walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, seramai 58 orang pelajar awam telah mendaftar secara fizikal memandangkan mereka datang dari jauh serta berada di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada 58 orang pelajar ini, UPNM tiada halangan sekiranya pelajar ini mahu terus berada di kampus UPNM.

Pendaftaran dan proses penempatan pelajar ini telah dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara dan berpandukan saranan daripada KPT.

UPNM juga memaklumkan pendaftaran pelajar akan dilaksanakan secara atas talian untuk pelajar lama dan baharu berdasarkan arahan daripada KPT.

Menurutnya, UPNM terus fokus kepada aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas talian termasuklah program-program khas atas talian untuk pelajar baharu.

Mod PdP atas talian ini akan diteruskan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa Covid-19.

Tambahnya, para pelajar akan dibenarkan kembali ke kampus sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

UPNM turut memaklumkan kakitangannya juga diminta untuk menangguhkan sebarang lawatan/ perjalanan ke kawasan berisiko tinggi/ zon merah.

Bagi mereka yang baru pulang daripada kawasan berkenaan, mereka perlu memaklumkan maklumat perjalanan dan melakukan kuarantin kendiri atau proses isolasi di rumah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast