SERDANG – Sebanyak 34 manuskrip lampau yang ditemui oleh sekumpulan penyelidik universiti awam akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dijadikan bahan rujukan kepada pelajar sekolah.
Pengarah Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin berkata, manuskrip yang ditemui daripada pelbagai sumber nusantara iaitu Acheh, Indonesia; Champa, Kemboja dan Malaysia mampu dijadikan bahan bagi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.
Malah, penemuan yang sudah ditapis itu juga boleh mewujudkan masyarakat yang inovatif dan berpandangan ke hadapan serta bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada peradaban ilmiah dan teknologi masa depan.
“Sebanyak 34 manuskrip ini cadangannya adalah kita akan gunakan sebagai asas untuk menjawab masalah asas. Kita ada masalah sains dan teknologi, jurutera yang seperti biasa disebut di peringkat kementerian.
“Bagaimana kita nak meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan matematik, sebab pada pendapat kami isunya adalah sebab kewujudan. Maknanya kenapa dia perlu belajar, dekat mana dia boleh ilhamkan semula. Ini adalah sebahagian daripada proses peradaban,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Rezal berkata, pelajar di peringkat sekolah mungkin tidak memahami mengapa mereka perlu tahu tentang perkara itu.
Bagaimanapun katanya, bagi mereka yang terlibat dalam membuat polisi mereka patut memahami bahawa setiap bangsa itu ada mempunyai susur galurnya.
“Jadi kalau kita kenal kita punya susur galur adalah lebih mudah untuk kita memahami tujuan kewujudan dan tentunya akan wujud semangat nasionalisme.
“Kita ada sebab untuk sayangkan negara menerusi ilmu. Yang jadi masalah bila kita belajar ilmu tu kita terus bezakan kenapa kita kena bangunkan negara.
“Selalu pelajar dia datang sebab nak dapat markah, dan itulah dia perkara yang perlu kita asingkan. Kita kena jadikan sebab pelajar nak belajar,” ujarnya. – MalaysiaGazette