MENTERI Pertahanan Malaysia,Datuk Seri Ismail Sabri ada memuji usaha rakyat Malaysia dalam pematuhan norma-norma baharu semasa PKP/PKPB juga prosedur operasi standard (SOP).Secara jujurnya jauh di sudut hati penulis juga rasa kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan slogan Malaysia Boleh yang tersohor itu.Malah penulis juga merasa sedikit kasihan di hati melihat gambar di media berkenaan sebilangan pengunjung restoran makanan segera menjamah hidangan secara penjarakan sosial
seolah-olah hendak menghadapi peperiksaan pula.Ini adalah norma baharu yang secara tidak langsung mendidik rakyat paling minimum 6 bulan hingga ke setahun dua kelak dalam rangka mengharungi wabak virus Covid-19 ini secara kawalan kendiri.
Apakah itu kawalan kendiri? Kawalan adalah antara strategi kawalan yang biasa digunakan dalam bidang psikologi, pengurusan perniagaan juga perundangan juga bidang-bidang lain.Kawalan kendiri dalam bidang perundangan biasa digunakan dan diamalkan oleh sesetengah badan yang mengawal selia organisasi di bawah seliaannya contohnya badan guaman yang mengawal selia etika peguam, juga bidang lain seperti doktor juga badan professional yang lain.Ada yang diperkuatkan dengan adanya akta sebagai kawalan undang-undang paling atas, selain penggunaan etika, budaya, norma yang diterima pakai, konvensyen, praktis terkini dan sebagainya.
Kawalan kendiri adalah satu bentuk kawalan ke atas masyarakat selain kawalan secara ‘perintah dan kawal’ oleh kerajaan atau badan perundangan dan penguatkuasaan.Untuk mengawal masyarakat secara amnya kita mesti mendalami corak dan sikap individu bagi mengetahui cara terbaik pengendalian. Dipercayai kawalan secara ketat terhadap pelaksanaan amalan SOP mungkin menyebabkan ketidakpatuhan, pelanggaran atau kurang keberkesanan, maka kawalan kendiri sebagai salah satu strategi kawalan selain perintah dan kawal, kawalan bijak, tadbir urus baharu dan yang sewaktu dengannya. Dua perkara penting dalam kawalan kendiri ialah pematuhan dan perlaksanaan.
Secara dasarnya dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan kawalan kendiri terdapat beberapa praktis yang diterima pakai juga amalan prosedur standard yang memastikan kepatuhan sesuatu matlamat atau objektif.Ketidakpatuhan akan menyalahi norma organisasi tersebut juga perlanggaran undang-undang berkaitan bagi perlanggaran yang serius.Sebagai contoh memakai topeng muka bukanlah satu kemestian, perlanggarannya bukanlah sesuatu hal yang besar.Manakala rentas negeri adalah perkara yang serius jika keluar sempadan negeri tanpa kebenaran dan alasan yang kukuh yang boleh disabit kesalahan pelanggaran PKP.
Apakah jaminan keberkesanan kawalan kendiri jika dibandingkan dengan undang-undang juga peraturan yang lain? Dan apakah sebab kerajaan Perikatan Nasional memilih kawalan kendiri sebagai cara pematuhan SOP juga norma baru dalam Covid 19 ini? Dengan seramai kira-kira 30 juta penduduk Malaysia, amatlah mustahil untuk dipastikan setiap individu mematuhi SOP semasa Covid 19 ketika di pasaraya, tempat umum juga di tempat kerja.Kekurangan tenaga untuk memantau perlaksanaan adalah ketara.Maka dengan mempastikan setiap entiti perniagaan juga pihak majikan mematuhi SOP atau tidak diberi kebenaran untuk dibuka dan beroperasi.Entiti perniagaan juga majikan mungkin atas alasan peningkatan kos kerana perlu menyediakan pencuci tangan, pemantau suhu badan sebelum masuk ke dalam premis, penjarakan sosial 1 meter dan sebagainya terpaksa juga mematuhinya samada suka atau tidak.
Ketidakpatuhan SOP mungkin akan menyebabkan mereka diarah ditutup yang akan menyebabkan kerugian dari segi ekonomi.SOP yang diamalkan ke atas rakyat secara langsung akan mendisiplinkan rakyat supaya mematuhi jika tidak mereka tidak dibenarkan masuk ke pasaraya, tempat perniagaan atau tempat kerja.Jadi dengan disiplin, pematuhan oleh kerana kehendak SOP yang diamalkan entiti perniagaan dan majikan, selain takut pelanggaran mengakibatkan dihukum undang-undang, ia juga didorong oleh keperluan lain seperti keperluan ekonomi, diri sendiri dan masyarakat amnya.
Selain itu kawalan kendiri akan mempromosikan ketelusan juga akauntabiliti kerajaan bagi keberkesanan organisasi.Kredibiliti kerajaan juga akan meningkat menurut pandangan masyarakat.Penglibatan rakyat dalam pematuhan juga pihak berkepentingan dilihat menerapkan
elemen demokrasi yang merupakan strategi baru kawalan di alaf baru kini. Selain itu ia dilihat kepatuhan secara keras dan melulu atas undang-undang juga peraturan yang ketat akan menyebabkan tekanan atas masyarakat terutamanya boleh dilihat di negara-negara sosialis dan yang mengamalkan kefahaman komunisme.Rakyat adalah pendukung amalan demokrasi, jadi ruang kebebasan dengan pengamalan kawalan kendiri secara pantau sendiri di rumah, juga bantuan oleh organisasi di luar juga pemantauan oleh pihak berwajib adalah faktor penyebab kejayaan kawalan kendiri.
Dijangkakan bahawa kawalan kendiri semasa Covid -19 ini mungkin akan berjaya di Malaysia kerana satu faktornya ialah semua tahu bahawa ia adalah satu wabak pandemik yang berbahaya yang tiada penawar lagi setakat ini.Setelah dua bulan rakyat dididik untuk mematuhi norma-norma baharu ini penulis melihat ketakutan masyarakat apabila berada di tempat awam sudah tidak seperti dahulu lagi.Apabila di pasaraya masing-masing akan cuba menjarakkan diri antara satu sama lain takut bersentuhan dan berdekatan juga memakai topeng muka. Dengan PKP dan PKPKB rakyat telah melihat saban hari banyak pelajaran juga pengajaran dipelajari.Dari segi bilangan pesakit setiap hari kita menyaksikan ada sahaja kematian seperti di Itali, China juga Amerika Syarikat, di mana mayat-mayat mangsa Covid-19 seolah-olah tidak terurus lagi apabila terdapat ribuan mayat sehari yang bergelimpangan di luar dan dalam hospital.
Di Itali pula kerajaan sudah tidak menerima lagi pesakit Covid-19 yang sudah tua yang tiada harapan sembuh dan menyebabkan mereka meninggal dunia sendiri tanpa rawatan.Melihat jenazah dikebumikan di Malaysia samada mangsa Covid-19 atau bukan pun sudah memilukan hati, apabila hanya boleh memerhatikan dari jauh dan tidak dapat melihat jenazah kali terakhir secara dekat seperti biasa. Masyarakat kini sudah terbiasa dengan protokol kesihatan yang baharu dan memahami secara jelas kesan akibat buruk jika tidak mematuhi dari segi undang-undang juga kesihatan.Ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga tetapi juga masyarakat sekitar kerana jika terdapat penularan di daerah tersebut akan mengakibatkan diisytihar zon merah dan penduduk tidak dapat keluar kawasan langsung. Ini akan menyukarkan diri sendiri untuk bekerja mencari sumber pendapatan juga meneruskan kehidupan.Faktor ekonomi juga menjadi penyebab kepatuhan hinggalah boleh menjadikan ia sebagai patuh atau mati,patuh atau hilang punca rezeki.
Namun di sebalik keberkesanan kawalan kendiri ini ada beberapa perkara yang harus ditimbang oleh kerajaan antaranya persepsi umum terhadap kerajaan.Ini adalah kayu pengukur kepercayaan dan prestasi kerajaan kini .Jika terdapat kurangnya kepercayaan rakyat terhadap perkara tersebut, maka penambahbaikan perlu berlaku terutamanya bagi mengekang penularan semula bagi menaikkan semula kepercayaan terhadap kerajaan.Selain itu perlu penilaian kendiri, penilaian luar juga semula untuk memantau keberkesanan kawalan kendiri tersebut.Perlu juga ada sistem maklumbalas bagi menjamin penerusan kawalan kendiri tersebut.
Kesimpulannya, kerajaan dilihat sudah mengkaji sikap dan cara resam masyarakat Malaysia dalam pematuhan PKP semasa Covid-19 secara kawalan kendiri.Penulis berasa ini mungkin bukan kali pertama amalan sebegini, mungkin pernah berlaku pematuhan secara sebegini sebagai contoh semasa zaman darurat diisytihar sekitar tahun 1960an dahulu.Tetapi dalam zaman Malaysia moden kini dengan wabak pandemik sebagai satu fenomena baru pematuhan undang-undang ini adalah satu dimensi baru dalam pematuhan juga perlaksanaan norma-norma baharu sehinggalah Covid-19 ini pergi.
Syabas rakyat Malaysia!Jika norma baharu ini berterusan sehingga 6 bulan ke depan, kita akan menang!
OLEH: Dr.Noor Dzuhaidah Osman
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM