GENEVA – Dagangan dunia dijangka turun sebanyak 9.2% pada tahun 2020, tetapi naik semula 7.2% pada tahun depan, kata Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).
Ramalan ini disemak semula selepas pada April lalu WTO mengunjurkan jumlah dagangan tahun ini antara 13% hingga 32% akibat pandamik Covid-19 yang telah menganggu aktiviti ekonomi dan kehidupan di seluruh dunia.
“Dagangan dunia menunjukkan tanda-tanda bangkit daripada kemerosotan akibat Covid-19 yang ketara,” jelas ahli ekonomi WTO dalam kenyataan media.
Katanya, prestasi perdagangan yang kukuh pada bulan Jun dan Julai telah membawa beberapa tanda optimisme untuk pertumbuhan dagangan secara keseluruhan pada tahun 2020.
Walaupun begitu, ramalan terkini WTO untuk tahun depan lebih pesimis berbanding unjuran sebelumnya, 21.3%, menjadikan dagangan berada di bawah trend pra-pandemi pada tahun 2021.
WTO mengingatkan bahawa ‘pemulihan boleh terganggu oleh kesan pandemik yang sedang berlaku.’
Wakil Ketua Pengarah WTO, Yi Xiaozhun dalam sidang media mengatakan kesan krisis perdagangan berbeza di seluruh wilayah, dengan “penurunan yang agak sederhana” dalam jumlah perdagangan di Asia dan “penguncupan yang lebih kukuh” di Eropah dan Amerika Utara.
Ahli ekonomi kanan WTO, Coleman Nee menjelaskan China menyokong perdagangan di wilayah (Asia) dan “permintaan import China meningkat dan membantu menyumbang kepada permintaan global.
Walaupun dagangan menurun semasa pandemi Covid-19 sama besarnya dengan krisis kewangan global 2008-09, tetapi konteks ekonomi sangat berbeza, kata ahli ekonomi WTO.
“Penguncupan KDNK telah jauh lebih kuat dalam kemelesetan semasa, sementara kejatuhan perdagangan lebih sederhana,” kata mereka, sambil menambah jumlah dagangan barangan dunia hanya dijangka menurun sekitar dua kali lebih banyak daripada KDNK dunia, berbanding enam kali lebih banyak semasa kejatuhan 2009. – MalaysiaGazette