Sebanyak 12 kementerian tidak termasuk institusi swasta menawarkan bidang TVET di Malaysia.

TAHUN 2020 atau lebih tepatnya ketika situasi COVID-19 menjadikan sistem pendidikan Malaysia telah berubah.

Kelas yang dirancang secara bersemuka berubah 100 peratus kepada hanya secara alam maya, melalui pembelajaran dalam talian.

Semua peringkat pendidikan, sama ada peringkat tadika sehinggalah universiti mengubah pendekatan pengajaran secara total. Guru dan pensyarah terpaksa belajar bagaimana mengendalikan kelas secara dalam talian.

Bagaimanapun sekalipun dugaan dan cabaran, kelas secara dalam talian perlu dilakukan. Ianya untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan kerana sekolah dan universiti terpaksa
ditutup ketika wabak Covid-19.

Guru dan pensyarah bersedia untuk berubah. Ada guru dan pensyarah yang beli komputer riba atau laptop baru. Ada yang baru langgan internet di rumah. Ada juga yang sediakan bilik khas untuk mengajar.

Perubahan drastik dilihat memberikan kesan yang cukup signifikan khususnya kepada pengajaran yang berbentuk amali dan praktikal.

Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berfokus kepada pengajaran secara bersemuka melalui praktikal di dalam kelas sangat terkesan.

Kesannya umpama membunuh keseluruhan pengajaran TVET itu sendiri. Pelajar diajar mengendalikan mesin, peralatan teknikal melalui video atau secara maya.

Keluh kesah bukan hanya kepada pelajar untuk faham, malahan juga kepada guru dan pensyarah untuk mengajar. Bagaimana ingin mengajar subjek teknikal yang melibatkan praktikal perlu diajar secara atas talian.

Sifat pelajar aliran TVET yang perlukan aktiviti menyentuh, memegang alat ketukangan, merasai alur kayu, memegang tukul dan paku, mendengar deruman enjin serta menghidu bau dan merasa resipi masakan menjadikan aspek nilai asas TVET itu hilang.

Pembelajaran dalam talian hanya menghidangkan visual mata tapi tidak dapat merasainya.

Justeru itu, pengajaran praktikal tidak berjaya mencapai objektif jika berubah kepada pengajaran dalam talian. Aspek ini dilihat menjadi dinding penghalang guru dan pensyarah TVET.

Bagaimana ingin lakukan pengajaran praktikal di dalam talian? Rakaman video di platform Youtube dilihat untuk mengetahui kaedah yang digunakan untuk menerangkan spesifik bahan pengajaran yang bersifat teknikal.

Namun, kekurangan video Bahasa Malaysia dan kandungan video yang tidak mengikut silibus merencatkan proses pembelajaran pelajar. Video yang ada biasanya terlalu umum.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan temubual dengan guru serta pensyarah, penulis berjaya mengesan bagaimana kaedah mereka untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut.

Pelbagai inovasi dilakukan dalam pengajaran amali ketika wabak covid-19. Rakam video secara spesifik mengikut silibus kandungan.

Lakukan dengan cara yang cukup tersusun. Lakukan satu per satu. Video yang cukup padat dan fokus. Gunakan pelbagai sumber yang praktikal seperti rakam menggunakan telefon bimbit.

Ada guru dan pensyarah yang sanggup beli peralatan secara atas talian bagi memastikan kandungan pengajaran dalam talian menepati silibus. Hinggakan ada guru yang masuk kelas membuat video secara dalam talian.

Ianya jelas untuk pastikan pengajaran praktikal dapat dilaksanakan. Guru atau pensyarah yang ajar enjin, buat rakaman baiki enjin kereta dan motor mereka.

Ada yang ajar masak, buat video umpama siaran televisyen chef terkenal, ada juga yang bertukang kayu di rumah. Ianya dilakukan dengan penuh tanggungjawab untuk pastikan pelajar belajar.

Setiap video yang dirakam diterang secara tersusun dan penuh dengan nilai pendidikan. Aspek pengukuhan dan penilaian kefahaman juga dilakukan.

Itulah sifat guru dan pensyarah. Umpama lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi kegelapan.

Pelbagai sumber dicari dan digunakan secara maksimum. Tekad mereka, jika tak mampu untuk memastikan pelajar faham secara maksimum, jangan tinggalkan mereka secara terus kosong ilmunya sepanjang wabak.

Mereka dilihat menggunakan pelbagai medium untuk sampaikan pengajaran praktikal. Platform media sosial digunakan untuk berinteraksi dan platform Youtube sebagai simpanan
video rakaman.

Motto mereka jelas, jangan ada anak murid yang terlepas.

Pelbagai usaha dilakukan. Namun, pengajaran praktikal TVET tidak terlepas dengan aspek asas kefahaman pelajar itu sendiri yang perlu ditekankan.

Pelajar TVET perlu diajar secara konstruktif iaitu melalui fasa demi fasa daripada mudah, sederhana dan sukar, dan menggunakan peralatan yang dapat dirasai oleh pancaindera. Pelajar TVET menguasai pengajaran melalui kombinasi pemikiran, pergerakan anggota tubuh dan perasaan secara tepat.

Kekangan Covid-19 tidak dapat melunturkan nilai pendidik bagi semua guru dan pensyarah TVET di Malaysia.

Pelbagai kajian dan inovasi yang memfokuskan kepada pengajaran praktikal dalam talian serta kecemasan wabak perlu dilakukan dengan lebih serius.

Hal ini dapat memastikan pengajaran praktikal terus berinovasi dan dilihat mendepani zaman. Teknologi semasa seiring dengan revolusi Industri 4.0 perlu diseragamkan dalam memastikan pengajaran praktikal TVET tidak hanya fokus secara bersemuka di dalam kelas.

Penggunaan pengajaran berasaskan Augmented reality ataupun visual perantara dilihat dapat membantu merealisasikannya.

Di akhir kalam, penulis merakamkan jutaan penghargaan kepada semua guru dan pensyarah yang bertungkus lumus memastikan tiada seorangpun anak murid yang tertinggal untuk belajar ketika wabak melanda. Pendidikan itu penting. Nadi tamadun dibina dengan ilmu.

Oleh: Dr. Ahmad Nabil Md Nasir
Pensyarah Kanan,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)