JAKARTA– Sektor pertanian yang tumbuh 16.24 peratus pada suku kedua 2020 sekali gus menjadi penyumbang tertinggi ekonomi Indonesia ketika pandemik melanda mendapat pujian Presiden Joko Widodo.
“Di tengah pandemik ini, sektor pertanian kita mampu tumbuh 16.24 peratus dan menjadi penyumbang tertinggi bagi pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Ekonomi Indonesia mengalami penguncupan sehingga 5.32 peratus pada suku kedua 2020 dan hanya menyaksikan pertanian menjadi satu-satunya sektor yang masih mampu mencatatkan pertumbuhan positif ketika negara tersebut dilanda pandemik.
Menurut Jokowi, petani dan nelayan digalakkan untuk bekerjasama dan bergabung dalam sebuah gabungan yang besar.
Ini bagi membolehkan golongan tersebut memiliki skala ekonomi yang besar dan seterusnya memudahkan mereka mendapatkan akses pembiayaan.
Beliau turut meminta Kementerian Pertanian yang diterajui Menterinya Syahrul Yasin Limpo untuk menjaga sektor berkenaan sebaik-baiknyanya terutama dalam meningkatkan kesejahteraan para petani dan nelayan.
“Pertumbuhan ini harus terus dijaga dan dijadikan momentum untuk meningkatkan kesejahteraan petani maupun nelayan,” ujarnya lagi
Tambah Jokowi skala ekonomi yang besar turut memudahkan petani dan nelayan mendapatkan maklumat dan teknologi di samping boleh meningkatkan kecekapan serta mengukuhkan lagi pasaran.- Agensi