Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

GOPENG – Belum ada sebarang perbincangan antara Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama parti-parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain dengan pembangkang di negeri itu agar menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perlunya perbincangan tersebut diadakan, sekiranya jumlah kes positif jangkitan pandemik COVID-19 terus meningkat di kawasan itu.

“Namun, saya kira kalau ada keperluan untuk perkara itu (perbincangan) jika kes positif meningkat, kita (PRK) boleh merumitkan usaha untuk merawat pesakit, katil hospital tidak cukup…kita perlu cari jalan untuk berbincang tentang perkara itu,” katanya pada media di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Batu Sapi tetap perlu diadakan selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, dan mesyuarat khas mengenainya akan diadakan pada 13 Okt depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan yang BN mengambil keputusan untuk tidak menyertai PRK Parlimen Baru Sapi jika ia diadakan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat untuk mengelakkan pandemik COVID-19 daripada terus menular, sebagaimana yang dialami ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilaksanakan kelak.

Semalam, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan supaya BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon bagi PRK Parlimen Batu Sapi, selepas mengambil kira penularan COVID-19.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast