Industri pos dan kurier di negara ini diharap terus berdaya mahu supaya rakyat dapat menerima perkhidmatan berkualiti, kata Suruhanjaya Komunikasi Multi Media.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Industri pos dan kurier di negara ini diharap terus berdaya mahu supaya rakyat dapat menerima perkhidmatan berkualiti, kata Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM).

Setakat ini, terdapat 111 syarikat pemegang lesen pos dan kurier yang sah memberi perkhidmatan di pelbagai peringkat di negara ini.

Menurutnya, jumlah penghantaran domestik bagi bungkusan dan dokumen pada suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 10 peratus kepada 61 juta berbanding 56 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah bagi suku kedua 2020 pula dianggar hampir mencecah 100 juta.

SKMM berkata, syarikat pos dan kurier adalah barisan hadapan negara yang membantu rakyat Malaysia mengharungi saat getir berikutan pandemik Covid-19 dan menyesuaikan diri dengan norma baharu.

”Ketika hampir semua perkhidmatan lain terhenti, kakitangan pos dan kurier terus bergerak dan mengambil risiko tinggi untuk melaksanakan amanah pelanggan. Atas jasa ini, MCMC dan rakyat Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga pos dan kurier yang telah bertindak sebagai wira barisan hadapan untuk membolehkan orang ramai meneruskan kelangsungan hidup,” katanya sempena Hari Pos
Sedunia yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun.

Atas keprihatinan untuk melindungi petugas penghantaran dan pelanggan yang menerima bungkusan, syarikat pos dan kurier juga telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika penyerahan bungkusan.

Penjarakan fizikal dan urusan tanpa sentuhan dijadikan amalan termasuk pengenalan aplikasi pintar urusan pengiriman secara dalam talian.

Kakitangan pos dan kurier bekerja keras membuat penghantaran bungkusan yang meningkat secara mendadak akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan pesta jualan platform e-dagang, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast