Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mendedahkan bahawa pihaknya telah mempunyai senarai penuh mereka yang terlibat dalam Macau Scam termasuk pihak yang menerima hasil daripada kegiatan haram itu.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang terlibat atau menerima ‘duit cuci’ itu dari Macau Scam segera tampil membantu siasatan dan tidak menunggu sehingga dipanggil oleh SPRM.

”SPRM sebenarnya sudah mempunyai senarai penuh mereka yang terlibat dan menerima hasil daripada scam tersebut.

“Scam ini melibatkan banyak pihak. Mereka yang terasa pernah menerima, terterima wang ini daripada mana-mana pihak yang telah ditahan segera hubungi SPRM.

“Saya bagi jaminan akan mengambil mereka sebagai saksi sekiranya bekerjasama. Mereka ini akan diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010,” ujarnya  dalam wawancara di macc.fm yang siarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Kepada soalan sama ada SPRM mensasarkan selebriti, beliau berkata, sindiket penipuan itu melibatkan pelbagai pihak termasuk selebriti dan ahli perniagaan.

Mengakui kes Macau Scam amat rumit, Azam juga percaya, sindiket penipuan terancang itu telah membuka beratus-ratus syarikat dummy untuk menyalurkan wang-wang haram tersebut.

“Bila sudah melakukan kegiatan haram, mereka perlu mencuci wang ini. Dari sinilah mereka menyalurkan wang ini kepada beberapa pihak, antara kepada peniaga.

“Peniaga mungkin tidak tahu kerana diberi dalam bentuk tunai tetapi ahli-ahli sindiket ini memegang syarikat-syarikat tersebut dalam keadaan tertentu untuk pastikan dapat bayar balik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.