PUTRAJAYA – Bekalan makanan dan barang keperluan lain di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah serta Klang, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah mencukupi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata penduduk di kawasan terbabit perlu mengelak membuat pembelian panik kerana tiada keperluan untuk mereka menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan terkawal dan bekalan mencukupi.
“Pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis lebih cepat di sesuatu premis daripada sepatutnya sementara menunggu pengisian semula barangan yang berkaitan di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta berkata beliau yakin tiada gangguan bekalan akan berlaku di empat daerah berkenaan memandangkan PKPB hanya melibatkan kawasan yang terhad, selain jaminan Kementerian Pengangkutan bahawa semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa.
Beliau juga berkata pegawai penguat kuasa kementerian akan sentiasa berada di lapangan untuk memantau dan menilai keadaan, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya dengan segera apabila diperlukan.
“Saya meminta semua pihak supaya kekal bertenang dan bersikap rasional. Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan,” katanya.
— BERNAMA