KUALA LUMPUR – Semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh menuntut dana khas melalui Dana MOH FWD MY Heroes yang berjumlah RM5 juta sekiranya dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas menangani penularan wabak berkenaan.
Dana tersebut merupakan inisiatif dan dedikasi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersama FWD Takaful Berhad kepada petugas barisan hadapan KKM dan ahli keluarga mereka, kata presidennya, Adnan Mat.
Manfaat ini percuma bermula 1 April lalu sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga dana khas terbabit habis diguna pakai.
Bagaimanapun sejak dana ini dilancarkan pada 1 April 2020, hanya 288 tuntutan telah diterima dengan nilai berjumlah RM732,000.
Daripada jumlah tersebut, CUEPACS dan FWD Takaful telah membuat pembayaran kepada satu tuntutan melibatkan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak RM50,000, 10 tuntutan kematian akibat lain-lain sebab (RM100,000) dan 274 tuntutan kemasukan ke wad (RM552,000).
CUEPACS menjangkakan tuntutan akab bertambah berdasarkan jumlah kes yang berlaku di Sabah, justeru menggesa dan menggalakkan semua ketua jabatan di KKM menghebahkan inisiatif Dana MOH FWD MY Heroes kepada kakitangan mereka.
Petugas barisan hadapan KKM adalah termasuk doktor, jururawat, paramedik, juruteknik makmal, pekerja ambulans, pekerja pentadbiran hospital dan kakitangan KKM yang dikenalpasti untuk bertugas secara rasmi bagi menangani penularan wabak Covid-19.
Dana ini bertujuan untuk membantu petugas barisan hadapan yang dijangkiti virus Covid-19 sewaktu bertugas menangani penularan wabak ini.
Menurutnya, dana ini juga boleh dimanfaatkan kepada ahli keluarga petugas barisan hadapan yang dijangkiti virus Covid-19 daripada kakitangan tersebut.
”CUEPACS dan FWD Takaful ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kesihatan barisan hadapan KKM kerana pengorbanan dan kesabaran mereka yang sentiasa meletakkan keperluan pesakit terlebih dahulu demi membendung penularan Covid-19.
”Sepanjang tempoh yang mencabar ini, mereka bekerja di barisan hadapan dan bekerja tanpa henti untuk memastikan Malaysia lebih selamat, walaupun mereka berdepan risiko tinggi terhadap jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Melalui dana ini, terdapat dua tuntutan boleh dikemukakan iaitu Pembayaran Ihsan dan Elaun Pelepasan. Pembayaran Ihsan dibayar sekiranya berlaku kematian petugas barisan hadapan sahaja.
Berdasarkan laporan KKM, terdapat lebih 406 petugas kesihatan di hospital kerajaan telah dijangkiti Covid-19 tidak termasuk ahli keluarga mereka.
Sejumlah RM 40,000 akan dibayar sekiranya kematian disebabkan oleh jangkitan COVID-19 dan RM10,000 akan dibayar sekiranya kematian akibat lain-lain sebab.
Untuk Elaun Pelepasan, tuntutan akan dibayar sekiranya petugas barisan hadapan dan ahli keluarga mereka dimasukkan ke mana-mana hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.
Ujarnya, sejumlah RM10,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke ICU manakala sejumlah RM2,000 akan dibayar sekiranya dimasukkan ke wad biasa.
Adnan berkata, kelayakan bagi pembayaran elaun pelepasan bagi wad biasa akan bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh KKM yang dibuat berdasarkan pengesyoran oleh Ketua Jabatan petugas barisan hadapan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM.
Maklumat lanjut mengenai dana ini boleh dirujuk melalui laman web www.cc4usolutions.my. – MalaysiaGazette