Kakitangan Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan sembilan juru X-ray (Diagnostik) dari Semenanjung yang dihantar ke hospital di Sabah. foto FB Noor Hisham.

KUALA LUMPUR – Perjuangan barisan hadapan di Sabah kini mencapai saat kritikal, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berikutan itu, katanya, strategi Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan kepada pengawasan komuniti, menjejaki kontrak untuk mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti.

Tegasnya, tugas KKM juga turut memberi fokus bagi mematahkan rantaian jangkitan dengan memperketatkan kawalan sempadan daerah dan negeri.

Sebahagian kakitangan KKM yang bertolak ke Sabah. foto FB Noor Hisham

Setakat semalam, Sabah masih mencatat zon merah kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi apabila mencatatkan 11 daerah mempunyai 40 kes positif ke atas.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Sabah merekodkan sebanyak 488 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah diikuti Selangor (25) dan Kedah (16).

Malah negeri itu turut dikesan tiga kluster baharu.

Sementara itu, dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook, Dr Noor Hisham berkata, Ketua Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Suresh dan pasukannya telah pun berada di lapangan dan bersama dengan petugas kesihatan dan perubatan di Hospital Semporna Sabah.

Dr Suresh akan melihat kepada penambahbaikan dan memberi tunjuk ajar serta dorongan kepada semua warga kerja KKM.

‘InshaAllah dengan usaha dan tawakkal semoga kita semua diberkati dan berjaya,” katanya.- MalaysiaGazette