Syarikat pengeluaran air minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. menamatkan usahasama di empat cawangan yang ada kaitan dengan siasatan berhubung pengubahan wang haram susulan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia baru-baru ini.-pix FB.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluaran air minuman, Bubblebee Sdn. Bhd. menamatkan usahasama di empat cawangan yang ada kaitan dengan siasatan berhubung pengubahan wang haram susulan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee, Datuk Ismail Abdul Rahman berkata, cawangan itu adalah Bubblebee Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh yang akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Beliau berkata, apa yang berlaku terhadap rakan usahasama mereka telah mendatangkan kesan negatif yang secara tidak langsung menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.

Malah, perkara itu turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah Bubblebee iaitu Shuib dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas, siasatan ke atas rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

“Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ismail menambah sebagai makluman, syarikat tersebut ditubuhkan pada hujung tahun 2019 dengan menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah, dan pemasaran.

Pasangan selebriti tanahair, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah yang berperanan dalam bidang pemasaran menjadikan Bubblebee kini bukan sahaja minuman, malah jenama perniagaan yang dikenali ramai dan menarik ramai pengusaha untuk menjadi rakan kongsi atau francais.

Sehingga kini, Bubblebee mempunyai 17 cawangan iaitu 11 cawangan merupakan milik penuh manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.

Pada 1 Oktober lalu, Shuib dan isterinya dilaporkan dipanggil hadir ke pejabat SPRM, Putrajaya berhubung pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka. – MalaysiaGazette