IPOH – Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) ke atas seorang pesara guru yang gemar mengutip dan mengumpul sampah di rumahnya Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini mendapati wanita itu normal serta tiada masalah mental.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata ujian oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta pagi ini mendapati ‘hobi’ Chung Sook Khuan, 63, itu mungkin disebabkan oleh kebiasaan beliau atau habitual action.
“Beberapa soalan daripada DASS ditanyakan kepada beliau (Chung) dan jawapan yang diberikan adalah normal, menunjukkan beliau (tahap kesihatan mental) seperti manusia biasa (normal) selain dia tiada masalah kesihatan seperti kencing manis atau darah tinggi.
Menurut Ahmad Saidi, wanita itu yang juga dikenali Cikgu Chung memaklumkan longgokan sampah setinggi kira-kira 1.5 meter di halaman rumah sebelum ini adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan beliau tidak dapat menghantar atau menjualnya di pusat kitar semula.
Selain itu, Ahmad Saidi berkata Chung telah bersetuju untuk membenarkan mana-mana pihak berkaitan masuk ke dalam rumahnya bagi tujuan pembersihan namun memerlukan sedikit masa kerana perlu mengasingkan beberapa barangan peribadi terutama yang mempunyai nilai nostalgia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata pihaknya telah memberikan kauseling sebanyak dua kali kepada Chung pada minggu lepas dan ia akan diteruskan secara berkala.
“Ada perubahan, beliau tidak lagi mengutip sampah dan memunggahnya di rumah, tetapi terus dibawa ke pusat kitar semula berhampiran. Kalau keadaanya semakin baik, kita akan beri kaunseling seminggu sekali atau dua minggu sekali,” katanya yang turut hadir ke rumah Cikgu Chung.
Chung sering dilihat berbasikal hingga lewat malam mengutip sampah dari premis berhampiran dan membawa pulang sampah sejak beberapa tahun lalu, malah sesetengah pihak mendakwa wanita itu terpaksa memanjat longgokan sampah di halaman untuk masuk ke dalam rumahnya. – MalaysiaGazette