KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melalui anak syarikatnya, PC Oman Ventures Ltd (PCOVL) bersama rakan-rakannya, BP Exploration (Epsilon) Limited dan Makarim Gas Development LLC, anak syarikat OQ, telah memulakan pengeluaran dari medan minyak Ghazeer (Fasa 2), yang terletak di Blok 61, Oman, tiga tahun selepas pengeluaran medan gas Khazzan (Fasa 1).

Dengan kejayaan terbaharu di Ghazeer itu, kapasiti pengeluaran dari Blok 61 dijangka meningkat kepada 1.5 bilion kaki padu dengan lebih dari 65,000 tong sehari.

Petronas berkata, Blok 61 dikendalikan oleh BP Exploration (Epsilon) Limited dengan kepentingan penyertaan 60%, sementara PCOVL memegang 10% dan Makarim Gas Development LLC memegang baki 30%.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, firma itu bangga menjadi sebahagian daripada konsortium Block 61 yang telah berjaya memulakan pengeluaran di Ghazeer lebih awal dari jadual dan paling penting selamat, di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar.

Kejayaan bersama ini adalah hasil kerjasama strategik antara rakan konsortium, kontraktor dan Kerajaan Kesultanan Oman.

”Kami berharap dapat mengukuhkan perkongsian ini ketika kami dalam progres menyampaikan bekalan tenaga yang bersih, selamat dan boleh dipercayai kepada Kesultanan Oman, sejajar dengan visi negara tersebut pada 2040,” katanya.

Blok 61, yang merupakan salah satu pengumpulan gas terbesar di Timur Tengah, mempunyai kemampuan untuk menghasilkan sekitar 35% dari jumlah permintaan gas Oman dengan sumber gas yang dapat dipulihkan sekitar 10.5 trilion kaki padu.

Pembangunan blok ini merupakan pencapaian penting dan penyumbang utama terhadap visi Oman 2040 dalam hal menyokong pertumbuhan industri tempatan dan juga mempelbagaikan ekonominya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast