KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat akan mempertimbangkan petisyen pembatalan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) sekiranya FGV Holdings Berhad (FGV) menyertakan maklumat atau laporan yang terhasil daripada audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Sehubungan itu, FGV kini sedang berkomunikasi dengan beberapa organisasi bebas untuk mencari pilihan dalam menjalankan audit bagi operasi FGV pada masa yang akan datang.
FGV dalam kenyataannya berkata, syarikat itu telah berkomunikasi dengan CBP pada 8 Oktober lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai hasil siasatannya dan juga mengenai langkah-langkah yang harus diambil oleh syarikat itu untuk pembatalan WRO.
Ini kerana, katanya, maklumat mengenai penemuan siasatan CBP itu amat penting bagi membolehkan FGV menangani dan menyelesaikan jurang yang masih ada dalam amalan syarikat.
CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui kecuali hasil siasatannya yang telah mengenalpasti 11 indikasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa dalam amalan syarikat FGV.
Malah, CBP juga tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.
”CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil dari audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan di sini
FGV telah dikenakan WRO oleh CBP Amerika Syarikat pada 30 September 2020 terhadap minyak sawit dan produk sawit keluaran FGV, anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengan syarikat itu di semua pintu masuk negara itu susulan dakwaan berlaku penggunaan buruh paksa.
Menurut jabatan itu, perintah tersebut dibuat susulan penyiasatan selama setahun yang mendedahkan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan, CBP mendapati buruh paksa kanak-kanak digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.
Dalam kenyataan itu, Lembaga Pengarah FGV menambah, pelantikan firma audit tersebut akan selesai dalam beberapa minggu lagi dan akan meneruskan audit tidak lama kemudian.
FGV komited dalam mengambil langkah-langkah wajar untuk membatalkan WRO. FGV mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada CBP atas kesediaannya untuk membincangkan perkara ini dengan FGV, dan FGV berharap dapat meneruskan perhubungan dengan CBP.
Jelas Lembaga Pengarah FGV, syarikat itu kekal komited dalam melaksanakan rancangan tindakan di bawah afiliasinya dengan Fair Labor Association (FLA). Rancangan tindakan FLA tersebut boleh diakses di laman sesawang FGV di www.fgvholdings.com.
Laporan kemajuan seterusnya mengenai pelaksanaan rancangan tindakan ini akan diterbitkan pada 31 Mac 2021.
Tambahnya, FGV akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material yang berkaitan dengan perkara ini. – MalaysiaGazette