MELBOURNE – Harga minyak naik sedikit pada awal perdagangan hari ini setelah data menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh minggu lalu, sekali gus menambah keuntungan 2% semalaman.
Prestasi itu turut didorong oleh OPEC dan sekutunya yang mematuhi sepenuhnya perjanjian mereka pada bulan September untuk mengurangkan bekalan minyak.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS. naik AS$0.04 sen atau 0.1%, kepada AS$ 41.08 setong pada 0032 GMT, sementara niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$0.05 atau 0.1% kepada AS$ 43.37 setong.
Pasaran minyak naik untuk hari ketiga walaupun kes Covid-19 di seluruh Eropah melonjak semula dan berpotensi mengurangkan permintaan bahan bakar.
Kumpulan industri American Petroleum Institute mengatakan inventori minyak mentah, petrol, dan penyulingan semuanya jatuh dalam seminggu hingga 9 Oktober, menurut laporan yang dikeluarkan selepas penutupan pasaran pada hari Rabu.
Stok minyak mentah turun sebanyak 5.4 juta, sementara stok penyulingan, termasuk diesel dan minyak panas susut 3.9 juta tong.
Penurunan itu hampir dua kali ganda daripada jangkaan penganalisis dalam tinjauan Reuters.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS. akan mengumumkan data mingguannya pada hari Khamis. – MalaysiaGazette