WASHINGTON – Kerajaan China memberi amaran akan menahan warganegara Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap pendakwaan oleh Jabatan Kehakiman terhadap cendekiawan yang bersekutu dengan tentera China, menurut laporan Wall Street Journal.
Akhbar itu memetik sumber yang tidak disebutkan namanya berkata, pihak atasan China telah mengeluarkan amaran tersebut berulang kali melalui beberapa saluran kepada pegawai-pegawai AS.
Menurut akhbar itu, Beijing telah menghantar mesej kepada Washington supaya menamatkan pendakwaan ke atas para cendekiawannya di mahkamah atau warganegaranya di China disabitkan kesalahan melanggar undang-undang.
Penasihat Jabatan Negara pada 14 September yang memberi amaran bagi perjalanan ke China dengan menyatakan Kerajaan Beijing akan menggunakan penahanan sewenang-wenangnya terhadap warga AS dan yang lain “untuk mendapatkan pengaruh tawar-menawar terhadap kerajaan asing.”
Pentadbiran Donald Trump giat mendakwa China melakukan pengintipan untuk mencuri teknologi, ketenteraan dan pengetahuan AS yang lain dalam strategi untuk menggantikan kedudukan AS sebagai kuasa kewangan dan ketenteraan terkemuka di dunia.
Beijing telah menafikan tuduhan itu.
Pada bulan Julai, Jabatan Kehakiman memaklumkan Biro Siasatan Persekutuan telah menahan tiga warga China kerana didakwa menyembunyikan keanggotaannya dalam Tentera Pembebasan Rakyat ketika memohon visa untuk melakukan penyelidikan di institusi akademik di AS.
Bulan lalu, AS mengumumkan pembatalan visa untuk lebih dari 1,000 warganegara China di bawah perintah presiden yang menolak kemasukan pelajar dan penyelidik yang dianggap menimbulkan risiko keselamatan.
China mendakwa tindakan AS itu sebagai pelanggaran hak asasi manusia.
Namun, pada masa itu, jurucakap Jabatan Negara berkata, AS menerima pelajar dan cendekiawan dari China yang tidak ada kaitan dengan tentera Parti Komunis China. – MalaysiaGazette