IPOH – Dua maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Kampung Klah Baru, Sungkai kira-kira 90 kilometer dari sini, pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamed Tahir Junus, 64, dan Nor Aini Mohd Sam, 56, kedua-duanya beralamat di Rumah Awam 2, Jalan Ketoyong, Tanjung Malim.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dengan Proton Saga BLM itu pada pukul 11.04 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta Slim River dikejarkan ke lokasi.

“Apabila sampai di lokasi, anggota mendapati terdapat dua orang dalam Proton Saga BLM tersepit dan meninggal dunia, manakala pemandu Myvi yang parah dikejarkan ke Hospital Slim River. Operasi tamat pada 1.45 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, maklumat lanjut mengenai kemalangan tersebut akan diberikan dalam masa terdekat. – Bernama