PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemukan empat kluster baharu di Labuan, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan perkembangan terbaharu itu memberitahu, kluster tersebut adalah kluster Bah Layangan di Labuan, kluster Penjara Kepayan di Sabah, kluster Alma di Pulau Pinang, kluster Auto di Selangor.
Katanya, untuk kluster Bah Layangan, kes indeks kluster itu dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Labuan.
Kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke daerah yang berisiko tinggi. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 12 lagi kes positif Covid-19,” katanya.
Bagi Kluster Alma pula, ia melibatkan daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.
Ujarnya, kes indeks itu bagi kluster tersebut dikesan berdasarkan kes ke 18,066 yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kluster Auto dikesan melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat dan Klang di Selangor serta daerah Seremban di Negeri Sembilan.
Jelasnya, kes indeks bagi kluster ini merupakan kes ke-19354 yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes yang positif Covid-19.
Manakala, Kluster Penjara Kepayan kes indeks bagi kluster itu dikesan daripada kes ke-19628 yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 14 Oktober lau.
“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 48 lagi kes positif Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette