KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) minta Parlimen mengkaji semula cadangan untuk mengehadkan kepada 15 agensi media sahaja membuat liputan sepanjang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dan Pembentangan Belanjawan 2021 pada November ini.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, kajian itu perlu bagi membolehkan lebih banyak agensi media terutama portal online tempatan membuat liputan.
Katanya, berpegang kepada prinsip kebebasan media dan kerajaan yang telus, agensi portal tempatan harus diberi suara dan hak yang sama membuat liputan terutama dalam isu yang membabitkan kepentingan negara.
“NUJM ingin menekankan bahawa sudah sampai masanya agensi media tidak didorong haluan oleh kerajaan kerana tindakan itu akan membuat masyarakat berasa media masih dikawal dan berada bawah telunjuk kerajaan mahupun parti politik.
“Pemilihan media bagi sebarang liputan rasmi haruslah dilakukan secara seimbang dan sama rata, supaya tidak ada yang merasa dipinggirkan atau kebebasan media untuk menjalankan tugas disekat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Jumaat lalu, Pentadbir Parlimen Malaysia memutuskan hanya 15 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 2 November ini.
Sebab yang dinyatakan untuk keputusan itu adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Semua organisasi media yang diluluskan hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar atau juruvideo.
Petugas juga mesti menjalani ujian swab RT-PCR pada 30 Oktober dan mengemukakan keputusan ujian pada 2 November.
Menurut Farah Marshita, NJUM yakin sekiranya ruang yang luas dan teratur disediakan untuk petugas media, SOP keselamatan dan prosedur penjarakan sosial akan dapat dipatuhi serta diamalkan pada setiap masa.
Dengan itu, katanya, NUJM menyeru supaya pemilihan agensi media bagi liputan sidang Parlimen itu dikaji semula bagi membolehkan lebih banyak agensi media terutama portal online tempatan membuat liputan.
Kata beliau, media juga petugas barisan hadapan dan menjalankan tugas untuk melaporkan setiap perkara yang berlaku dalam negara. – MalaysiaGazette