Pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan penyewa sebuah premis di tingkat tujuh pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19 pada Jumaat.

Menerusi kenyataan di Facebook, Sogo Malaysia memaklumkan, petugas di premis AII IT Hypermarket itu tidak hadir bekerja sejak 12 Oktober lalu dan kini berada dalam pemantauan hospital.

“Kami menutup serta-merta premis berkenaan dan seluruh tingkat tujuh pada Jumaat untuk kerja sanitasi serta nyahkuman termasuk kawasan awam sekitarnya.

“Tingkat tersebut beroperasi semula semalam kecuali All IT Hypermarket yang terus ditutup sehingga notis selanjutnya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan pusat beli-belah sedang mengesan kontak rapat kakitangan terbabit melalui daftar masuk kod QR dan menambah semua rakan sekerjanya sudah menjalani saringan Covid-19 dan sedang dalam tempoh kuarantin kendiri.

“Kami akan meneruskan langkah pencegahan dan berjaga-jaga kerana keselamatan serta kesejahteraan pekerja juga orang awam menjadi keutamaan,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, tingkat bawah dari paras LG sehingga tingkat enam di pusat beli belah itu beroperasi seperti biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast