Gambar hiasan

IPOH – Polis sedang menyiasat laporan seorang wanita yang mendakwa dikasari manakala adik perempuannya ditumbuk sehingga pengsan semasa menghadiri satu mesyuarat sebuah parti politik di Teluk Intan, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita itu yang berumur 32 tahun kira-kira 11.04 malam, pada hari yang sama, di Balai Polis Teluk Intan.

“Beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkab kecederaan, masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Wanita terbabit merupakan seorang guru, dalam laporan polis yang tular mendakwa beliau bersama sembilan individu datang ke sebuah hotel di Teluk Intan kira-kira 8.30 malam kerana mendapat jemputan untuk menghadiri satu mesyuarat parti namun apabila tiba telah dihalang untuk masuk.

Kira-kira sejam kemudian, semasa berdiri di hadapan pintu bilik mesyuarat, telah keluar seorang lelaki yang dikenali dan menolak beliau sehingga jatuh selain menumbuk bahagian muka adik perempuannya sehingga pengsan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast