Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa menganggap khabar angin ada rombakan Kabinet hari ini sekadar cakap-cakap pinggiran sahaja.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya tidak berbangkit dan sekadar cakap-cakap kosong.

“Itu cakap-cakap pinggiran, itu bukan perkara paling utama, yang paling utama membentuk penyatuan dan perpaduan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai  rundingan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung syarat baharu kerjasama dalam memperkukuh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Annuar berkata, ia masih berjalan.

Malah perbincangan tersebut turut melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setakat saya tahu rundingan UMNO, Bersatu sedang berjalan, presiden dengan presiden bertemu selalu.

“Malam kelmarin, ada pertemuan. Saya sendiri baru lepas jumpa Perdana Menteri, malam tadi saya jumpa Datuk Seri Najib Razak, malam sebelumnya saya duduk dengan presiden saya,  Ahmad Zahid, tiap-tiap hari sepanjang masa.

“Saya nampak pemimpin kita semua berjiwa besar, mereka bukan bergaduh. Mereka duduk dan berbincang itu jalan terbaik, kita bincang anak beranak macam adik-beradik,

“Saya yakin penyelesaian itu sebahagaian besar telah dicapai, jadi itu biar orang berwajiblah akan beritahu apa penyelesaian,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada UMNO dan Bersatu telah mencapai kata sepakat berhubung syarat baharu kerjasama melibatkan kerajaan PN.

Terdahulu, Annuar menerusi Twitternya hari ini memaklumkan UMNO dan parti-parti gabungan bakal muncul lebih padu dan kuat selepas ini.

“Kita berusaha siang dan malam tanpa putus asa kukuhkan solidariti. Sikap matang para pimpinan mengagumkan,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas lebih lanjut maksud ciapannya di Twitter itu, Annuar menjelaskan, kerjasama itu termasuk membabitkan persiapan pilihan raya umum bersama parti rakan termasuk yang mendokong Kerajaan PN.

“Soal kerjasama antara parti kita semua ini nak masuk PRU, lepas itu kita nak rakyat pilih kita dan kita nak khidmat kepada rakyat.

“Rakyat pun naik meluat kalau kita berpolitik tengok tunggang terbalik, tiga kali setahun nak susun Kabinet.

“Kita kena malu kepada dunia kerana kita sebelum ini terkenal dengan kestabilan politik sejak awal merdeka, cuma sesi PRU-14 ini sahaja nampak lain.

“Jadi, kembali kepada penyatuan dan perpaduan itu lebih penting kita bermuafakat, bekerjasama,” katanya,

Sebelum ini, Muhyiddin meminta UMNO menghantar surat rasmi bagi memperincikan syarat baru kerjasama membabitkan parti itu susulan keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO baru-baru ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang membawa permintaan Muhyiddin itu.

Ia susulan keputusan UMNO yang mahu mempertimbangkan bagi menarik diri daripada menyokong PN dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan dalam meneruskan kerjasama politik membabitkan dua parti itu.

Ditanya soal surat sokongan Presiden UMNO, kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular, Annuar berkata, perkara itu akan diperincikan dalam mesyuarat MT parti itu esok dan setakat ini semua pihak perlu menerima penafian yang telah dibuat parti.

Katanya, secara lojik isu UMNO sokong Anwar tidak berbangkit lagi kerana Presiden PKR itu telah gagal membuktikan sokongan yang meyakinkan.

“Tapi kalau kita bincang benda yang gagal tidak ada makna. Pada saya lebih baik pandang kehadapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast