Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang lagi pegawai di Penjara Seberang Perai, Jawi dekat sini disahkan positif COVID-19 semalam, kata Pengarahnya Zulkifli Abdul Manah.

Zulkifli berkata kes semalam menjadikan dua pegawai lelaki di penjara itu disahkan positif COVID-19 dan mereka merupakan warden yang bertugas di blok baharu penjara berkenaan membabitkan sekumpulan banduan yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini.

“Pegawai kedua itu disahkan positif semalam dan setakat ini dua warden penjara kita sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, mereka bertugas di blok penjara membabitkan banduan baharu yang sebelum ini telah disahkan positif COVID-19.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas dua keluarga pegawai tersebut yang tinggal di kuarters penjara di situ, dan setakat ini keputusan ujian saringan keluarga pertama disahkan negatif…kami sedang tunggu keputusan keluarga pegawai kedua,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kesemua 384 pegawai dan kakitangan di Penjara Seberang Perai itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan setakat ini hanya dua daripada mereka disahkan positif manakala yang lain akan menjalani ujian saringan kedua dalam masa terdekat.

Zulkifli berkata setakat ini, seramai 70 orang di blok baharu membabitkan semua banduan yang baru dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke penjara itu sejak bulan lepas sahaja disahkan positif COVID-19 dan ia tidak membabitkan banduan lama yang terletak di bangunan lain di situ.

“Selain itu, kami juga telah menyediakan satu blok sebagai wad rawatan untuk banduan yang positif COVID-19 dan satu lagi blok untuk mereka yang telah pulih daripada penyakit tersebut. Keadaan mereka yang dijangkiti (COVID-19) stabil sekarang,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast