KUALA LUMPUR – Cadangan agar Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut diadakan sabagai jalan keluar bagi menangani kemelut politik yang melanda negara adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Ia mengambil kira keadaan barisan hadapan yang sedang berjuang memerangi penularan wabak Covid-19 yang masih melanda negara.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, peningkatan mendadak jumlah kes serta kluster baharu ekoran dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini sudah cukup menggambarkan bagaimana kesan buruk yang menimpa rakyat menyebabkan berlakunya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin politik.
Dalam 18 hari bulan Oktober sahaja, peningkatan hampir 50% kes Covid-19 baharu dan mencecah melebihi 20,000 kes jangkitan.
”Maka, situasi yang lebih buruk akan berlaku jika Pilihan Raya Umum diadakan di seluruh negara,” katanya sambil memuji sikap berlapang dada pemimpin politik yang enggan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P185 Parlimen Batu Sapi sebagai jalan untuk memberikan calon parti penyandang memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding.
Jelasnya, ini adalah satu sikap baik dan bertanggungjawab sebagai menyedari kesan besar yang akan berlaku kepada rakyat jika pilihan raya diadakan.
Namun, rasa kebertanggungjawapan ini harus diteruskan secara konsisten dengan memastikan tidak ada sebarang PRU mengejut diadakan agar keselamatan dan kebajikan rakyat akan sentiasa dipertahankan.
”Sepatutnya mana-mana pihak yang menginginkan pilihan raya mengejut ini mengotakan janji mengutamakan rakyat serta tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat dari kegagalan mereka menguruskan urusan politik dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette