Harga unit-unit kediaman di Iskandar Malaysia susut 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM573,931 atau RM577 sekaki persegi pada suku ketiga tahun ini.

KUALA LUMPUR – Harga unit-unit kediaman di Iskandar Malaysia susut 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM573,931 atau RM577 sekaki persegi pada suku ketiga tahun ini.

Kawasan Puteri Harbour mencatatkan harga tertinggi kepada RM979,125 atau RM888 sekaki persegi (skp) diikuti oleh Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada harga RM836,125 atau RM921skp.

JB Inner City pula menyaksikan harga median pada RM694,749 atau RM595 skp, JB Outer City pada harga RM394,266 (RM423), Danga Bay pada harga RM648,500 (RM534), Iskandar Puteri RM434,714 (RM491), Medini RM645,598 (RM773) dan Pantai Tebrau RM494,520 (RM49), menurut Banci Hartanah Iskandar.

Ketua Penyelidikan Datamine Malaysia, Jerren Lai, berkata, pandemik Covid-19 telah merosakkan pasaran yang sudah lemah, menyaksikan lima dari lapan kawasan mencatatkan penurunan harga.

Pengesahan pelaksanaan Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) yang dijangkakan antara Singapura dan Johor pada suku ketiga terus mendorong penurunan harga untuk kawasan CIQ, Johor.

“Harta tanah bernilai median tertinggi di kawasan CIQ adalah Suasana pada harga RM1,320,000 atau RM1350skp dan Tri Tower pada harga RM1,180,000 atau RM1253skp, sementara yang terendah adalah Skysuites pada harga RM635skp dan V Summerplace pada RM748skp yang boleh dilihat di www.iskandar-property.my,” katanya.

Lai meramalkan harga median CIQ kemungkinan akan mencecah 30 peratus di bawah harga harta tanah Woodlands di Singapura setelah RTS dilaksanakan.

Harga median Woodlands ialah SGD799skp atau RM2400skp (berdasarkan RM3: SGD1) mengikut Urban Redevelopment Authority (Singapore URA 2020) terkini.

Ini diterjemahkan kepada harga ramalan untuk CIQ kepada RM1700skp.

”Ramalan ini bergantung pada kecekapan sistem pelepasan imigresen RTS yang baharu. Dari Woodlands North ke kawasan Orchard, hanya memerlukan 36 minit pada laluan MRT Thompson yang akan datang.

”Sekiranya pelepasan imigresen dan perjalanan sejauh 4km dari CIQ ke Woodland North mengambil masa sekitar 25 minit, maka permintaan Singapura akan membanjiri harta tanah Iskandar jika memerlukan sekitar satu jam dari JB untuk sampai ke Orchard,” ujarnya.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana pembuat keputusan memilih untuk LRT dan bukannya MRT berkapasiti lebih tinggi menggunakan kereta api Singapura yang ada kerana pertimbangan kos.

“Infrastruktur seperti ini mendorong permintaan yang tidak hanya menyelesaikan kemelut perumahan tetapi membuka pintu kepada warga Singapura untuk masuk ke Iskandar yang mempunyai kesan pengganda sangat besar terhadap ekonomi,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast