KABUL – Sekurang-kurangnya 12 wanita warga Afghanistan terbunuh dalam kejadian rempuhan berhampiran konsulat Pakistan di timur Afghanistan pada Rabu, menurut pegawai lapor Agensi Anadolu.
Kejadian itu berlaku di sebuah stadium terbuka di kota Jalalabad apabila ribuan warga Afghanistan berhimpun untuk mendapatkan token bagi memohon visa ke Pakistan.
Zahir Aadil, jurucakap jabatan kesihatan di wilayah Nangarhar, mengesahkan jumlah kematian dan mengatakan beberapa yang lain juga cedera, berikutan keadaan yang tidak terkawal.
Tragedi itu terjadi selepas Islamad mengumumkan melonggarkan peraturan visa awal bulan ini bertujuan memperbaiki hubungan dua hala.
Pada 29 September, Kabinet Persekutuan Pakistan meluluskan dasar visa baharu untuk Afghanistan – visa lawatan masuk berganda – untuk memudahkan peniaga dan warganegara Afghanistan.
Kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang 2,600 kilometer dikenali Garisan Durand.
Ribuan rakyat Afghanistan melakukan perjalanan ke negara jiran Pakistan untuk mengunjungi keluarga mereka, dan bagi mendapatkan rawatan perubatan, perniagaan dan juga pendidikan.
Pakistan juga menjadi tuan rumah lebih tiga juta pelarian Afghanistan, yang melarikan diri daripada keganasan di negara yang dilanda peperangan itu.- BERNAMA