JOHOR BAHRU – Selepas tujuh tahun menabur khidmat bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), pengurus Luciano Figueroa hari ini mengumumkan terpaksa berpisah dengan kelab juara tujuh kali Liga Super Malaysia itu demi komitmen kepada keluarga di Argentina.
Bekas pemain kebangsaan Argentina yang juga pernah menjadi pemain JDT di awal penyertaannya mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan para peminat atas sokongan selama ini.
“Saya meninggalkan kenangan yang sangat indah dan sangat terharu dengan pengabadian nama saya di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ia merupakan satu perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan mendapat ramai kenalan baharu yang telah dianggap seperti keluarga sendiri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook ‘Johor Southern Tigers’, hari ini.
Beliau yakin JDT akan terus berjaya di bawah pengendalian jurulatih Benjamin Mora serta individu-individu di sebalik tabir seperti pengarah teknikal, pengarah kesukanan dan juga Tunku Mahkota Johor yang akan terus memastikan kejayaan kelab.
“Saya doakan yang terbaik untuk JDT dan semoga kita bertemu lagi di masa depan,” katanya.
Figueroa menyertai JDT pada tahun 2014 dan kekal selama dua musim sebagai pemain, dengan menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan.
Bekas antarabangsa Argentina itu memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebagai pemain, sebelum dilantik sebagai duta kelab pada 2017.
Beliau kemudiannya menyarung jersi merah biru kelab itu sekali lagi pada 2018 dan membantu pasukan menjuarai Piala Sumbangsih keduanya (2019) dan kejuaraan Liga Super ketiga (2019).
Figueroa kemudiannya dilantik sebagai pengurus JDT pada Ogos 2018 dan membimbing pasukan Harimau Selatan itu menjuarai dua Piala Sumbangsih (2019 dan 2020), Liga Super 2019 dan juara Piala Malaysia 2019 serta juara Liga Super tahun ini.- BERNAMA