KUALA LUMPJR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan September 2020 turun 1.4 peratus kepada 120.1 berbanding 121.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-9.9%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-3.0%) dan pakaian & kasut (-0.6%) yang menyumbang 41.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Walau bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

Selain itu, pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.7 peratus diikuti komunikasi (1.6%) dan kesihatan (1.1%).

Mohd Uzir Mahidin berkata, HP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1 peratus pada September 2020 berbanding September 2019.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada September 2020 iaitu RM1.68 per liter berbanding RM2.08 pada September 2019 manakala RON97 turun kepada RM1.98 per liter berbanding RM2.58.

Sementara itu, purata harga diesel menurun kepada RM1.73 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Indeks teras meningkat 1.0 peratus pada September 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (2.7%), komunikasi (1.6%), makanan & minuman bukan alkohol (1.4%) dan kesihatan (1.1%).

Menurutnya, indeks teras meliputi barangan tidak termasuk barangan makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.

IHP bulanan tidak menunjukkan perubahan berbanding Ogos 2020.

Walaupun begitu, terdapat kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan iaitu restoran & hotel (0.2%), minuman alkohol & tembakau (0.1%), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.1%), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (0.1%)
dan pendidikan (0.1%).

Sementara itu, IHP bagi suku tahun ketiga 2020 menurun 1.4 peratus kepada 120.2 berbanding 120.0 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 1.5 peratus berbanding suku tahun kedua 2020.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 peratus hingga -2.2 peratus bagi September 2020 berbanding September 2019.

Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.2%), Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.2%) dan Kedah & Perlis (-2.2%), diikuti oleh Sarawak (-2.1%), Negeri Sembilan (-1.9%) dan Johor (-1.9%).

Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.4%), diikuti oleh Terengganu (1.6%), Johor (1.5%) dan Perak (1.5%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast