Petugas Sel Care melakukan proses ujian saringan Covid-19 sebahagian orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar secara percuma di semua cawangan di Selcare Clinic bermula hari ini. 
Ujian tersebut diberikan kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 69.2 peratus kes Covid-19 yang direkodkan di Selangor adalah jangkitan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lapan daripada 18 kluster yang aktif di negeri itu adalah individu yang pulang dari Sabah.

Dengan jumlah penularan tempatan yang paling banyak, Dr. Noor Hisham berkata, wabak berkenaan kini berada di persekitaran.

“18 kluster aktif di Selangor; (69.2%) adalah kluster jangkitan tempatan & 8 kluster (30.8 %) adalah mereka yang pulang dari Sabah.

“Ini bermakna 69.2% jangkitan di Negeri Selangor tiada kaitan dengan mereka yang pulang dari Sabah. Virus Covid-19 sudah ada di persekitaran komuniti kita,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Semalam kes positif wabak berkenaan direkodkan sebanyak 862 kes.

Ia merupakan tiga hari berturut-turut kes baharu dicatatkan melebihi 800.

Di Selangor jumlah kumulatif kes positif Covid-19 kini 3,489 selepas pertambahan 132 kes baharu semalam.-MalaysiaGazette