Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (Luas) melaksanakan tiga langkah bagi merawat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut adalah bagi memastikan air yang disalur semula ke premis perniagaan dan rumah benar-benar selamat digunakan.

“Luas melaksanakan operasi pengepaman air kolam (Opak) Bestari Jaya sehingga 336 juta liter sehari dan melepaskan air empangan sungai tinggi serta Sungai Selangor sehingga 1200 JLH selain menaikkan satu pagar sungai (river gate) di Baraj Bestari Jaya.

“Agensi berkenaan turut melaksanakan proses nyahbau di kolam tebatan banjir JPS Sungai Gong,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor awal pagi semalam.

Susulan itu 1.2 juta akaun pengguna meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagaimanapun, setakat pukul 9 pagi hari ini, sebanyak 1,097 daripada 1,292 kawasan atau 85 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah menerima bekalan air sepenuhnya. – MalaysiaGazette