KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh lebih awal iaitu pada tahun 2020 berbanding Disember 2021.

Penamatan operasi hospital itu bersadarkan perkembangan semasa yang mana trend penurunan bilangan kes dan kehadiran pesakit berikutan keadaan di kawasan kem pelarian semakin stabil dan tahap kesihatan pelarian Rohingya semakin baik berikutan penyakit kronik telah diberikan rawatan sewajarnya.

Selain itu, terdapat penambahan enam buah hospital medan di dalam kawasan kem pelarian kendalian kerajaan Turki dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain seperti Mèdecins Sans Frontiéres (MSF), HOPE Foundation, MSF Spain, Bangladesh Red Crescent Society dan Friendship.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, penubuhan HMM telah berjaya mencapai objektifnya dan penarikan keluar ini tidak memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta terhadap imej negara.

Katanya, sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Malaysia amat prihatin terhadap krisis kemanusiaan Rohingya dan akan terus memainkan peranan dalam mengetengahkan isu Rohingya di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya dalam mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu itu.

“Berdasarkan kepada perkembangan semasa, Kerajaan telah memutuskan agar pengoperasian HMM ditamatkan lebih awal iaitu pada tahun 2020 berbanding dengan mandat operasi sehingga Disember 2021,” kata kenyataan itu.

Kerajaan menubuhkan HMM di Cox’s Bazar pada November 2017 sebagai misi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berikutan konflik di Rakhine, Myanmar.

Misi ini merupakan pelan jangka pendek untuk membantu meringankan beban dan menstabilkan keadaan dalam kem pelarian terutamanya berkaitan aspek kesihatan di kalangan pelarian Rohingya.

Pengoperasian HMM dilaksanakan secara penggiliran dengan kekuatan 56 orang petugas bagi setiap pasukan yang terdiri daripada 20 orang pegawai ATM termasuk lapan orang Pakar Perubatan, 30 anggota lain-lain pangkat Kor Kesihatan DiRaja (KKD) serta enam orang jururawat awam.

Sehingga Mac 2020, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghantar sebanyak lima pasukan perubatan ke HMM.

HMM telah menjadi tumpuan pelarian Rohingya untuk mendapatkan rawatan walaupun ia terletak di luar kawasan kem pelarian kerana HMM merupakan satu-satunya hospital medan yang menyediakan perkhidmatan Tahap 3 pada ketika itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah pembedahan
am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, bius, x-ray dan rawatan-rawatan utama lain seperti kesihatan keluarga, kecemasan, pergigian, radiologi serta makmal.

Menurutnya, kepulangan petugas perubatan ATM ke tanah air akan membolehkan pengoperasian penuh Hospital Angkatan Tentera (HAT) dilaksanakan di seluruh negara.

Pada masa yang sama, ujarnyam mereka dapat diatur gerak dalam negara sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan kerajaan (whole-of-government) untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang ketika ini sedang menunjukkan trend peningkatan semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast