KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia X Bhd (AAX) untuk menuntut RM78.16 juta caj tertunggak penerbangan yang gagal dikutip syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengendali lapangan terbang itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), telah memfailkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap syarikat penerbangan itu.
“Caj tertunggak penerbangan itu terdiri daripada caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj aerobridge, caj parkir pesawat, caj kaunter daftar masuk, caj pendaratan dan caj bayaran lewat,” kata MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Menurut MAHB, harta pengguna itu termasuk mana-mana pesawat, peralatan, aksesori, kenderaan, kelengkapan dan/atau sebarang harta lain milik dan/atau di bawah kawalan AAX atau mana-mana pengendali darat yang dilantik oleh syarikat penerbangan itu. – MalaysiaGAzette