KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, FGV telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu dalam usaha membatalkan WRO sejak petisyen
dikemukakan.
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan pegawai kanan pengurusan FGV Holdings Bhd (FGV) diketuai oleh Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan, Datuk Najmuddin Abdullah.
Pertemuan tersebut membincangkan isu membabitkan
dakwaan Amerika Syarikat (AS) ke atas FGV yang dikatakan mengamalkan buruh paksa selain perkembangan terkini pembangunan industri sawit negara .
Menurut Mohd. Khairuddin, kementeriannya mengambil maklum
dan memandang serius susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS kebelakangan ini.
“FGV juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hakasasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Khairuddin, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara dan bagi tempoh Januari-Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion.
Bagaimanapun, katanya, dengan insiden yang semakin kerap berlaku, kementeriannya bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut.
Pada tahun 2018, katanya, kementerian dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia.
Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif dan kajian itu telah dibentangkan dan diterima oleh Kabinet dan akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL)
AS sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan.
“Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.
“Kementerian menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik Covid-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya,” ujarnya.
Selain itu, menurut Mohd Khairuddin, bagi mengukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini.
Oleh yang demikian, isu buruh paksa yang dibangkitkan dan dilaporkan oleh DOL merupakan isu lama dan telah pun diambil tindakan oleh pihak industri.
Kementeriannya dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian mengenai pembangunan industri sawit negara dan mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi demi menjamin kemakmuran sejagat dan
kemaslahatan bersama.- MalaysiaGazette
Bagus menteri ni, rakyat nak tengok negara terus move on setelah 22 bulan tiada progress apa2 aka yileeeekk, tahniah, harga sawit sekarang pun lebih baik dari dulu semasa Pakatan Hancing/DAP!