Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (kiri) bersama Timbalan Presiden PUTRA, Tan Sri Khalid Yunos (kanan) melancarkan Tabung Perjuangan PUTRA di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) melancarkan tiga tabung serentak dalam meneruskan kelangsungan operasi parti itu pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sumbangan orang ramai diperlukan untuk disalurkan kepada Tabung Perjuangan Putra, Tabung Selamatkan Rizab Melayu dan Dana Bantuan Guaman.

Beliau mengakui sebelum ini Putra hanya beroperasi tanpa sebarang bantuan dan dana kecuali menerusi yuran ahli dan sumbangan Ahli Majlis Tertinggi yang secara purata antara RM100 hingga RM200.

“PUTRA adalah sebuah parti politik baharu yang berjuang untuk membela hak dan maruah anak bangsa Melayu dan Pribumi yang ditindas secara halus di negara sendiri dan secara tidak langsung membawa kebaikan kepada bangsa-bangsa lain.

“Namun tanggungjawab ini, semakin hari semakin berat apabila berdepan masalah dana untuk meneruskan operasi,” katanya.

Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Tabung Perjuangan PUTRA di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 OKTOBER 2020

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran tabung tersebut yang turut dihadiri Timbalan Presiden Putra, Tan Sri Khalid Yunus.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, Tabung Perjuangan Putra menyasarkan dana sebanyak RM1 juta dengan tiada jangka waktu ditetapkan.

Tambah beliau, Tabung Selamatkan Rizab Melayu pula menyasarkan kutipan RM300,000 bagi menuntut kembali Tanah Rizab Melayu bermula dengan Perak.

Katanya, tanah-tanah ini telah dibangunkan oleh pemimpin kerajaan yang memerintah terdahulu dan ada juga yang dipindahmilik kepada orang bukan Melayu yang masih tidak diganti semula sehingga hari ini.

Menurut beliau, dianggarkan sekitar 8,691 hektar tanah yang telah ditarik daripada status Tanah Rizab Melayu dan masih belum diganti oleh kerajaan negeri.

“Dana Bantuan Guaman pula akan digunakan untuk membiaya kes mahkamah melibatkan Lim Guan Eng dan Waytha Moorthy,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh melayari laman www.putraperkasa.my. – MalaysiaGazette