Foto Instagram Zulin Aziz.

KUALA LUMPUR – Isu beberapa selebriti yang akan dipanggil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes Macau Scam dan penggubahan wang haram menyebabkan nama pelakon dan pengacara Zulin Aziz turut dikaitkan.

Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz, antara yang disebut-sebut netizen merupakan salah seorang selebriti yang turut dipanggil memberi keterangan berhubung isu berkenaan.

Enggan menjadi mangsa keadaan, Zulin tampil memuat naik beberapa entri di laman Instagram miliknya menjelaskan perkara tersebut bagi menutup mulut netizen yang gemar membuat andaian tanpa sebarang bukti kukuh walaupun dia sudah menjelaskan isu itu sebelum ini.

“Apalah salah dosa aku? Korang fitnah aku bertubi-tubi, cakap memalukanlah, apalah. Selagi tak disebut nama, selagi itu netizen buat andaian dan fitnah aku.

“Di sini saya jelaskan, saya tidak pernah dipanggil untuk bantu siasatan oleh SPRM. Saya tidak ada kena mengena dengan sindiket itu malah tidak pernah menjalankan perniagaan dengan mereka.

“Dmagia, bisnes yang saya usahakan ini adalah kerjasama dengan syarikat sireh emas. Saya tidak pernah dipanggil daripada kes ini. Gambar saya disebarkan netizen hanya kerana saya mengenali mereka (suspek),” luah wanita berusia 30 tahun itu.

Menurut Zulin lagi, dia memang mengenali suspek yang pernah ditahan SPRM namun mereka hanya merupakan kenalannya sahaja.

“Saya memang suka berkawan dan melakukan hal yang sama dengan semua. Sesiapa sahaja yang berkawan dengan saya, saya masak untuk mereka, saya pergi ke majlis yang dijemput dan jika diajak bercuti, sekiranya ada kelapangan, saya pergi.

“Saya berani kerana benar. Saya mencari rezeki yang halal dengan meniaga, berlakon, buat review dan masak.

“Saya tidak pernah menayang kemewahan dan saya menjalani kehidupan serba sederhana. Saya harap dengan apa yang saya tulis ini sedikit sebanyak buat anda berfikir dan berhenti fitnah saya makan duit haram,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, SPRM telah memberikan kenyataan bahawa 10 selebriti bakal dipanggil oleh pihak mereka bagi membantu siasatan selepas tiada yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast