KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyifatkan tindakan mengisytiharkan darurat bagi menangani penularan wabak Covid-19 adalah tindakan yang keterlaluan, tidak perlu dan membelakangkan demokrasi.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, berdasarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai majoriti tipis di Parlimen selain tindakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merancang mengambilalih kerajaan, adalah wajar untuk pihaknya mengesyaki tujuan menasihati Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) untuk mengisytiharkan darurat adalah bermotifkan politik.
“Jika darurat membabitkan penggantungan Parlimen dan kebebasn awam, maka ia akan menyerupai rampasan kuasa terhadap diri sendiri yang dilakukan kerajaan Muhyiddin dalam usaha untuk kekal berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan darurat akan membolehkan kerajaan lantikan YDPA membuat undang-undang yang mempunyai kuasa dan kesan yang sama seperti akta Parlimen dan ia akan terus berkuatkuasa sehingga darurat dibubarkan atau dibatalkan selain ia tidak boleh dicabar di mahkamah.
Tambahnya, pengisytiharan darurat juga akan memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan menolak kuasa kerajaan negeri.
Kali terakhir darurat diisytiharkan di seluruh negara diumumkan semasa insiden 13 Mei 1969, ujar Bersih 2,0 sambil menambah ia akan memberi kesan serius terhadap ekonomi.
Menurut kenyataan itu, jika tujuan pengisytiharan darurat adalah untuk memerangi Covid-19, Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar atau dipertingkatkan sudah memadai.
Katanya, Akta 342 yang juga dikenali sebagai Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk kuasa untuk membuat peraturan, mengawal pergerakan orang ramai dan pergerakan tentera seperti yang telah dilihat setakat ini.
Sementara itu, Bersih 2.0 merayu ahli politik untuk mengetepikan perbezaan pendapat dan bekerjasama dengan ‘kerajaan minoriti’.
Katanya, ini bermakna pembangkang perlu bersetuju untuk tidak mengundi menentang kerajaan PN dalam undi percaya atau undi perkara-perkara berkaitan bajet ketika mengekalkan hak untuk menentang perundangan lain.
Tambahnya, ia bagi memastikan bajet untuk Covid-19 yang dijadualkan dibentangkan pada bulan depan diluluskan dan mengekalkan stabiliti dalam Parlimen. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ahhh tak habis2 Bersih ni.. perangai mcm bangang…tak habis2 politik…demokrasi kepala hotak ko laaa..nyawa lagi penting dari demokrasi ok

Comments are closed.